AROMA RASA: Puteri Meenachi Sekamar seunik namanya!

04-10-2007 11:55:53 AM
Oleh ZIEMAN

"PUTERI Meenachi Sekamar" - namanya saja sudah cukup membuat ramai orang tertanya-tanya apakah keistimewaan kuih Melayu ciptaan Chef Liza Zainol ini.

Bentuk kuih persis badak berendam dengan inti pulut hitam bersama gula Melaka tapi rasanya jauh berbeza. Memang menarik dan menambat selera tambahan pula dibuat hidangan untuk santapan di bulan Ramadhan.

Chef Liza Zainol bersama dua anak kembarnya, Nina dan Chef Ereen (Foto The Star oleh Sia Hong Kiau)

Chef Liza yang peramah tidak jemu mempromosikan ciptaan terbarunya itu sambil berkata, "Kena rasa kuih ni baru tahu keistimewaannya. Rupanya yang unik ibarat Puteri Meenachi sedang beradu di dalam kamar."

Kuih ini diasaskan dari beras yang dikisar sendiri dan bukan dari tepung beras yang sedia ada.

"Itu yang buat kuih ini lebih sedap kerana tepungnya dikisar sendiri. Warna putihnya juga lebih asli kerana ia masih segar," jelas tukang masak terkenal ini lagi di kediamannya di Taman Tasik Indah.

Setelah tepung beras ini diuli selama beberapa minit, ianya dimasak dengan santan dan diadun dengan garam dan air. Intinya pula dimasak dalam gula Melaka dan daun pandan.

Inti yang telah masak dan disejukkan kemudiannya dibulatkan sebesar biji guli atau duit syiling 50 sen. Setelah itu, dikepal agak molek untuk disumbat di tengah-tengah sebelum dimasukkan di tengah tepung beras dalam bungkusan plastik.

Kemudian, kuih ini dikukus selama 10 minit. Setelah sejuk, ianya didinginkan di dalam peti sejuk.

Puteri Meenachi Sekamar

"Walaupun cara membuatnya agak rumit tetapi kuih ini adalah pencuci mulut yang sedap dimakan semasa waktu berbuka," kata Chef Liza lagi.

Selain kuih Puteri Meenachi Sekamar, Chef Liza juga telah menyajikan hidangan Nasi Tomato, Ayam Kuzi Istimewa, Puding Lapis Buah Peach dan biskut rangup telur rebus pada petang itu.

Ayam Kuzi Istimewa

Ayam Kuzi yang disediakan oleh anak Chef Liza, Chef Ereen mempunyai warna merah yang menarik serta aroma yang cukup menyelerakan dengan rempah yang dikisar sendiri.

Menurut Ereen, Ayam Kuzi itu agak senang disediakan kerana ianya merupakan hidangan wajib di rumahnya setiap kali Ramadhan menjelma.

Puding Lapis Buah Peach

Ayam Kuzi Istimewa ciptaan Chef Liza ini menggunakan rempah ketumbar, bawang merah, bawang putih, halia dan serai digoreng dulu sebelum dikisar lumat dengan cili kering, juga digoreng atas api sederhana perlahan.

"Ayam hendaklah dipotong sederhana kecil dan cili kering juga mesti digoreng terlebih dulu supaya bangkit wanginya," kata Ereen yang pernah bekerja sebagai tukang masak di KL Convention Centre satu ketika dulu.

Biskut rangup telur rebus

Tomato yang ranum merupakan kemestian dalam setiap masakan yang digunakan terutama dalam Kuzi Ayam dan Nasi Tomato.

"Jangan kedekut menggunakan bawang merah dan tomato. Lebih banyak lebih manis dan lebih sedap rasa masakan kita," jelas Chef Liza yang pernah mencipta rekod 'Malaysia Book of Records' sebanyak 111 resipi selama 50 jam pada 31 Ogos lalu.

Pakar masakan yang kaya dengan pengalaman memasak ini kini mempunyai akademi masakan Azza Culinary Academy yang terletak di Taman Mastiara, Batu 5, Jalan Ipoh.

Bekas guru ini telah mula bergiat secara aktif dalam bidang masakan ini sejak dua tahun yang lepas. Seramai 2 ribu orang pelajar telah menamatkan pengajiannya dan membuka perniagaan sendiri.

Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus masakan, membuat roti dan kek ising yang dikendalikan oleh Chef Liza sepenuhnya, boleh hubungi talian 03-62587102. Untuk keterangan lanjut sila layari www.sweetazza.com.my.